Ahad, 20 Mei 2012

Published 2:30 PG by BioVCO with 0 comment

7 maut, 100 cedera letupan di Syria

DAMSYIK 19 Mei - Satu letupan kereta menggegarkan luar ibu pejabat keselamatan Syria di bandar Deir Ezzor hari ini, menyebabkan tujuh orang terbunuh dan 100 lagi cedera.

Televisyen kerajaan melaporkan, serangan berani mati yang turut menyebabkan banyak kerosakan itu berlaku di kejiranan Ghazi Ayyash di bandar Deir Ezzor dan mendakwa ia dilancarkan oleh 'pengebom berani mati pengganas'.

Jurucakap Kementerian Luar, Jihad Makdisi berkata, tujuh orang maut dan 100 cedera dalam letupan yang melibatkan 500 kilogram bahan letupan itu.

Setakat ini belum ada yang mengaku bertanggungjawab, tetapi pembangkang menuduh rejim Presiden Bashar al-Assad yang melakukannya.

Sementara itu, tentera rejim semalam melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang berhimpun di jalan-jalan raya di Aleppo, menyebabkan beberapa orang yang menyertai tunjuk perasaan terbesar di bandar itu sejak tercetusnya revolusi tahun lalu, cedera.

Menurut pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia, penunjuk perasaan di Douma, pusat bantahan berhampiran Damsyik, turut mengalami kecederaan akibat terkena tembakan tetapi jumlah korban tidak dinyatakan.

"Beribu-ribu orang menyertai tunjuk perasaan di beberapa daerah di Aleppo semalam, walaupun berdepan dengan tindakan kejam daripada tentera rejim," kata ketua pertubuhan pemantau itu, Rami Abdel Rahman.

Selain bandar Aleppo, tunjuk perasaan yang menuntut penggulingan Assad itu turut diadakan di Damsyik, bandar Deir Ezzor, timur laut Hasaka, Homs dan Idlib, menurut pertubuhan pemantau yang beribu pejabat di London itu.

"Kami mahukan kebebasan, tidak kira anda suka atau tidak, Assad musuh kemanusiaan," jerit penunjuk perasaan di Deir Ezzor.

Menurut pertubuhan itu, sekurang-kurangnya 11 orang turut terkorban dalam keganasan di seluruh Syria, semalam. - AFP
      edit

0 ulasan:

Catat Ulasan